Halaman

Memaparkan catatan dengan label tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tazkirah. Papar semua catatan

Selasa, November 23, 2010

Persiapan Perkahwinan - Mengumpul Wang


Salam. Dalam entri kali ini, aku cuma ingin berkongsi serba sedikit pengalaman yang telah aku lalui dalam tempoh lebih setahun dalam usaha murni untuk mengumpulkan wang untuk mendirikan rumahtangga.

Kerja tetap
Hampir 11 bulan aku bekerja di Dataran Mentari, Sunway sejak tamat pengajian di UIA tahun 2009. Kemudian, aku pun bertukar tempat kerja di Plaza Damas pada bulan Jun 2010 kerana aku mendapat tawaran yang lebih baik. Masa makin suntuk dan aku buat keputusan ini untuk meningkatkan jumlah simpanan dalam 6 bulan terakhir ini.

Kerja Freelance
Aku turut mengambil projek untuk membina laman web secara kecil-kecilan. Walaupun aku mengenakan harga yang murah, tapi bagi aku yang penting ada duit yang masuk. Selain itu, dapat juga aku menambah hasil kerja aku dalam portfolio. Alhamdulillah, hasil dari bekerja secara sampingan, serba sedikit dapat menambah wang simpanan.

Kursus Pengurusan Wang
Aku menghadiri kursus anjuran IKIM ini pada bulan Januari 2010. Dapat juga aku menimba ilmu tentang pengurusan wang setelah berumah tangga. Mungkin terlalu awal aku pergi kursus tersebut tapi tak mengapa sebab aku pun tak tahu bila akan ada kursus sebegini yang akan datang.

Berpuasa Sunat
Antara hadis yang popular mengenai pernikahan ini ialah:
“Wahai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu yg mampu kahwin maka hendaklah ia kahwin kerana kahwin itu dapat menundukkan pandangan mata dan lebih mampu dapat mengekang nafsu dan barangsiapa yg tidak mampu berkahwin, maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu dapat mengekang hawa nafsu” (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai)

Sebenarnya, selain daripada mengekang hawa nafsu seksual dan nafsu makan, berpuasa juga dapat mengurangkan perbelanjaan makan tengahari ataupun snek ringan ketika bekerja. InsyaAllah walaupun sudah kahwin nanti, aku akan teruskan amalan berpuasa sunat pada hari Isnin, Khamis dan hari-hari tertentu.

Melawan Hawa Nafsu
Aku juga ada membeli sebuah e-book berjudul 'Mas Kahwin Yang Hilang' dan rupanya e-book ini menyeru pembaca supaya mengawal hawa nafsu dari menggunakan wang untuk membeli belah, menonton wayang serta pelbagai lagi. 

Tambah lagi apabila makin banyak gajet baru di pasaran, iPhone, iPad, iPod, Blackberry, telefon pintar Android, PSP, kamera DSLR yang menjadi ikutan pemuda masa kini, aku memang perlu menahan diri daripada membeli gajet idaman hati ini. Aku masih lagi memakai telefon Sony Ericsson sejak tahun 2007 itu. 

Solat Dhuha & Surah Al-Waqiah 
Solat Dhuha sangat popular dengan fadilat memurahkan rezeki kita sementara membaca Surah Al-Waqiah pula dapat mengelakkan kita daripada kemiskinan.

Sedekah
Tips terakhir ini memang sangat menarik. Janganlah kedekut nak sedekah di masjid atau surau. Aku berpegang kepada prinsip lebih banyak kita beri, lebih banyak kita dapat. Dalam kursus yang aku hadiri itu juga ada menerangkan, kalau nak duit masuk, kena ada duit yang keluar.

Rasanya itu saja panduan serba ringkas bagaimana aku berusaha untuk mengumpulkan wang dalam masa setahun lebih ini. Sesungguhnya, rezeki itu datang dari Allah. Alhamdulillah.

Gambar ihsan mr-star-dust dari Deviant Art

Rabu, Ogos 18, 2010

Bacalah, Menangislah




Salam kepada semua pembaca.

Apa khabar Iman dan Amal di bulan Ramadhan ini? Moga terus bertambah dan bertambah. InsyaAllah.

Setelah memdengar tazkirah di masjid tadi, antara adab membaca Al-Quran yang kita sering tak amalkan ialah menangis. Ye, menangis. Menangis apabila kita membaca tiap ayat dengan penuh perhatian dan penghayatan.

Jika tak mampu untuk menangis, buat-buatlah menangis.

Jika tidak, menangislah kerana sedihnya kita tak mampu untuk menangis.

Bermuhasabahlah, adakah apabila membaca ayat-ayat suci dari KitabNya, kita tak mampu untuk menangis disebabkan hati sudah gelap gelita dipenuhi noda-noda, dosa-dosa lampau yang telah kita lakukan?

Perbanyakkan membaca Al-Quran kerana sesungguhnya, membaca Al-Quran sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadah, memberi rahmat dan nur (cahaya) dalam hati.

Wassalam.


Gambar: design oleh Tasnim Hatta

Isnin, Jun 28, 2010

Pendapat mengenai 'Jangan Promosi Dosa di Facebook & Blog'


Salam kepada semua pembaca. Hari ni aku cuma nak kongsi pendapat aku mengenai artikel yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin (UZAR) yang bertajuk Jangan Promosi Dosa di Facebook & Blog.

Bila aku baca tulisan beliau, aku rasa lepas ni aku kena lebih berhati-hati dalam berkongsi apa jua maklumat, info, gambar, video, link yang ada di internet ini. Mungkin selama ini aku tak sedar apa kesannya daripada berkongsi walau sekadar link ke sesebuah laman web. Apatah lagi menyatakan minat (Like / Fan / Interest) kepada sesebuah drama, filem, artis yang lebih banyak maksiat daripada amalnya.

Seperti yang dinyatakan oleh UZAR, sekiranya aku menyatakan aku peminat Heroes, maksudnya aku juga 'redha' dengan segala yang dipaparkan dalam rancangan tersebut termasuk bab tidak menutup aurat, kekejaman dan pelbagai lagi unsur maksiat di dalamnya. Melainkan kalau sesebuah drama itu mempunyai lebih banyak unsur positif dari yang negatif. Aku cuma dapat membayangkan drama 'Nur Kasih' tatkala baca ayat tersebut.

Dari segi perkongsian gambar, aku kadangkala runsing apabila ditag oleh kawan-kawanku walaupun tiada gambar aku. Kebanyakan gambar memang aku akan tapis dan Remove Tag sebagai langkah mengelak daripada  fitnah masyarakat.

InsyaAllah, aku akan periksa segala akaun sosial media di internet dan kurangkan promosi 'dosa-dosa' di dalam blog ku, Facebook, Twitter, Tumblr, Youtube dan pelbagai lagi aplikasi di internet ini.

P/S: Apa yang kita tulis dalam blog merupakan tahap pemikiran kita. Sampai bila nak blog pasal hiburan saja?

Gambar dipinjam daripada Executionists

Khamis, Februari 04, 2010

Masalah Yusuf dan Zulaikha dalam Doa Pengantin


Salam. Minta maaf kerana tidak sempat update blog pada minggu lepas. Minggu ni aku nak berkongsi sebuah topik yang aku memang akan runsing setiap kali pergi kenduri kahwin.

Bukan isu apa cuma aku akan terkilan kalau sewaktu sesi doa pengantin, adakalanya orang yang membacakan doa (mungkin merujuk kepada teks doa ini) mendoakan agar hubungan pengantin seperti Yusuf dan Zulaikha.

Rata-rata kalau kita pernah baca kisah Nabi Yusuf, patutnya kita tahu dimana Yusuf itu seorang yang sangat kacak. Sewaktu kecil, abang-abangnya mengatakan Yusuf telah mati di makan serigala. Bila sudah dewasa, baginda hampir digoda oleh isteri pemerintah negeri yang kononnya dikatakan sebagai Zulaikha.

Lepas aku menjelajah dunia internet ini untuk mencari kebenaran, rasanya entri daripada Saifulislam cukup untuk membenarkan gerak hati aku ini. Kredit juga kepada Abdullatef yang berkongsi rakaman audio Ustaz Abu Shuaib mengenai Pertunangan dan Pernikahan. Perihal doa pengantin berkaitan Yusuf dan Zulaikha juga ada disentuh. Kalau anda ada kelapangan, boleh la dengar ceramah Ustaz Abu Shuaib lebih kurang 90 minit. Download di sini.

Pengajaran untuk entri kali ini, sebagai umat Islam, kita perlu menyelidik kesahihan sesebuah berita ataupun amalan supaya kita sentiasa dijalan yang benar, InsyaAllah. Tak ada masalah dengan doa itu, cuma untuk memastikan doa itu lebih sesuai, elok digugurkan pada bahagian yang menyebut Yusuf dan Zulaikha itu.

Sebelum kita mengakhiri entri pada minggu ini, layan dulu lagu Muhasabah Cinta dendangan Edcoustic. Menusuk kalbu betul liriknya.



Gambar kredit fotokahwin

Jumaat, Januari 22, 2010

Pendapatku mengenai nama Allah


Salam. Isu ini masih lagi hangat diperkatakan. Secara ringkas, aku pun ada pendapat aku juga pasal isu ini. Aku perlukan masa untuk memahami kebenaran dari sudut kedua-dua belah pihak, sama ada yang membantah mahupun yang membenarkan.

Setelah sekian lama aku mencari pendapat terbaik, di sini aku rumuskan pendapat Ustaz Zahazan merupakan yang terbaik. Kebetulan hari ini juga muzakarah anjuran IKIM turut mengesahkan pendapat aku.

Tiada tuhan yang disembah selain Allah. Allah menciptakan semua makhluknya di bumi, langit dan di antaranya. Manusia yang diciptakan ada yang Islam, Kristian dan Yahudi. Memanglah setiap umat manusia sepatutnya mengaku tuhannya Allah. Tapi atas sebab kejahilan, datanglah bermacam-macam tafsiran.

Nama dan Sifat
Contoh mudah aku ialah, Allah itu merupakan satu kata nama khas. Allah bukan kata nama am. Allah bukan terjemahan tuhan dalam bahasa Arab. God itu kalau bahasa Arabnya mungkin ilah atau rabb. Contoh lain pula, mengenai seorang insan bernama P. Ramlee. seorang seniman yang terkenal dan sifat-sifatnya seperti lelaki, berkeluarga dan sebagainya. Orang Malaysia, Islam atau tidak, kalau bercakap pasal P. Ramlee, memang merujuk tentang beliau seorang.

Begitu juga dengan Allah dan sifat-sifatNya. Orang Islam tahu Allah itu tuhan mereka dan sifatNya yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tapi orang Kristian pula anggap Allah itu lain sifatNya.

Maaf kalau penjelasan ini kurang jelas. Tapi inilah contoh yang aku dapat simpulkan apabila dikatakan apabila pemantapan akidah itu lebih penting. Aku di sini bukanlah menghalang orang bukan Islam menggunakan nama Allah, tapi kalau nak guna, kenalah fahami sifat Allah yang sebenarnya, sebagai tuhan yang layak disembah. Bukan tuhan rekaan agama Kristian itu.

Bergantung kepada tempat dan zaman
Satu lagi isi yang aku bersetuju dengan Ustaz Zahazan ialah apabila keputusan mahkamah itu bakal membawa kepada penggunaan kalimah lain serta pelbagai lagi yang mungkin kita tak sangka. Aku bukanlah prejudis, tapi kalau boleh cegah dari awal kan baik? Mula-mula nama Allah, lepas ni kita tak tahu. Walaupun ia digunakan dalam majalah mingguan, tapi ada juga Herald online yang orang Islam pun boleh baca.

Zaman internet yang canggih ini, sesiapa pun boleh baca, sebarkan ke mana saja, tiada batas kaum dan agama. Tapi memang aku juga risau terhadap generasi Muslim yang lemah pemahaman Islam dan imannya.

Untuk pemahaman sepenuhnya, sila rujuk kepada yang pakar seperti Dr MAZA dan Tuan Sharifah. Aku mengharapkan suasana toleransi antara kaum dan agama dapat dikekalkan di bumi Malaysia ini. Semoga lebih ramai orang Kristian dan Islam sendiri akan memperoleh ilmu berkaitan akidah. Alangkah manisnya perbezaan pendapat ini, memang banyak hikmahnya! Terasa rugi pula tak belajar perbandingan agama semasa di UIA dulu.

Sekian saja entri untuk minggu ini. Semoga berjumpa lagi pada minggu hadapan. Layan lagu penutup berjudul Asma ul Husna, dendangan Opick.



Grafik - kredit kepada Expertoha

Jumaat, Disember 11, 2009

Kasut hilang lagi!


Salam kepada pembaca sekalian.

Apabila ditimpa musibah, apa-apa musibah la dari yang kecil-kecil seperti kehilangan sepasang kasut mahal berwarna ungu yang cantik dan masih baru, tingkap kereta dipecah dan barang-barang berharga dicuri oleh pencuri professional atau musibah-musibah yang lebih berat seperti perlu extend study disebabkan isu-isu rumit (dan mungkin ketidakadilan para pensyarah), putus tunang akibat salah faham dan masalah keluarga yang dahsyat menyebabkan tekanan perasaan membawa kepada kemurungan (tiada kaitan dengan yang hidup atau mati) serta lain-lain..

..Kita sebagai manusia akan bertindak refleks atau memberi respon terhadap situasi-situasi ini. Cara kita mengekspresi diri terhadap perkara-perkara ini mungkin berbeza. Kita mungkin akan redha atau memberontak terhadap takdir. Kita mungkin akan berfikir positif atau rasa seperti dunia sudah berakhir bagi kita. Kita juga mungkin akan ingat untuk mengucapkan nama-nama Allah atau sebaliknya, kata-kata carutan ketika ditimpa musibah-musibah ini.
Adakalanya dalam sedar atau tidak, walau kita rasa kita sudah cukup redha dan percaya ada hikmahNya akan setiap yang berlaku itu, kita mungkin lupa bahawa itulah di mana letaknya beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah.

Secara ringkasnya, 'Qada’ dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.'

Semuanya telah ditetapkan di Luh Mahfuz dan Luh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan. Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Luh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: 'Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali
perbuatan yang baik.' (Riwayat Tirmizi)

Berkaitan dengan topik ini, bagi memujuk diri apabila kesusahan demi kesusahan datang dalam hidup ini, Al-Qur’an telah menyatakan:

'Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.' (At-Taubah:51)

'Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (At-Taghabun:11)

'Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.' (Al-Imran:108)

Rakan-rakan, dalam menghadapi dunia yang fana ini, marilah kita sentiasa berdoa, kerana kita memang hanya mampu berusaha dan berdoa. SesungguhNya Dia-lah yang menentukan setiap sesuatu. Yang penting marilah kita berdoa moga diberi yang terbaik buat kita semua kerana hanya Allah Maha Mengetahui dan kita tidak mengetahui.


Khamis, September 10, 2009

10 malam terakhir: Strategi si pelumba lari

Salam kepada semua.

Tinggal lagi 10 hari sahaja lagi kita di bulan Ramadhan ini, jadilah kita seperti pelumba lari 4x100m di mana pada awal lariannya (awal Ramadhan hingga ke pertengahannya) steady dan maintain saja, tidak terlalu lambat, tidak terlalu gopoh menyimpan tenaga untuk menyempurnakan larian. Di kala hampir sampai ke garisan penamat (10 malam terakhir), terus pecut, keseluruhan tenaga dicurahkan dan di mata hanya nampak kemenangan (lailatul Qadar).

Rakan-rakan, siapa yang keluar dari bulan Ramadhan dan tidak diampunkan dosanya walau sedikitpun, amat malang la dia. Na’uzubillah.

Masih belum terlambat, tapi kena cepat sebab Ramadhan akan pergi meninggalkan kita tak lama lagi.

Gambar dari www.flickr.com

Isnin, September 07, 2009

Mencari orang kacak teman sejati


Salam kepada pembaca yang budiman.

Sedar tak sedar sudah masuk hari ke- 17 kita di dalam bulan Ramadhan. Signifikannya 17 Ramadhan ini ialah tarikh telah diturunkan kitab suci oleh Allah sebagai panduan dan penyuluh hidup manusia sejagat. Dalam entri kali ini marilah kita merenung sejenak.. Siapakah yang akan menemani kita apabila kita ditinggalkan keseorangan oleh keluarga, saudara mara dan sahabat paling rapat sesudah kita mati nanti? Hm..

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata :

"Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekali pun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!"

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata :

"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi". Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga.

Rakan-rakan pembaca, di kala kita keseorangan dan berada dalam ketakutan dan ketidakpastian yang kita sendiri tak dapat bayangkan dalam kubur nanti, alangkah bahagianya jika adanya Qur’an sebagai syafaat .

Kita tak tahu bila kita akan pergi meninggalkan dunia ini dan melangkah ke alam barzakh bertemu dengan Munkar dan Nakir. Oleh itu, bersempena dengan Ramadhan, bulan penuh ganjaran dan bonus daripada Allah ini, marilah kita memperbanyakkan bacaan Qur’an kita..Marilah sama-sama menyiapkan diri moga ada orang kacak yang akan menemani kita dalam kubur nanti insyaAllah.



Selasa, Ogos 04, 2009

An-Naml ayat empat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk), sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan.

Sadaqallah al-Azim.


Salam kepada semua:)
Kadangkala satu ayat pun boleh buat kita tersentak dari lamunan duniawi..
Iye, memang indah, sedap dan lazat perbuatan-perbuatan yg sia-sia, tidak mendatangkan faedah dan semata-mata untuk bersuka-ria di dunia yg fana ini.
Yum2..
Maka, jangan tunggu dah lambat baru mahu mengingati Allah.
Marilah kita menginsafi perbuatan-perbuatan buruk yang telah kita lakukan.

P/S: Teringat beberapa rangkap lirik nasyid:

'O Allah, we belong to you
in everything we do..


Gambar daripada www.flickr.com/photos/ceoln

Khamis, Februari 05, 2009

Sanggupkah anda?

Salam kepada semua. Sudah agak lama tidak kunukilkan apa-apa di sini. Hm..Sejak tahun lepas rasanya. Kali ini ingin kuceritakan satu kisah.

Kisah ini dah lama berlaku. Tidak pasti dari mana sumbernya atau diceritakan kepada siapa tapi jika dihayati benar-benar menginsafkan.

Diceritakan seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung.

Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta. Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan. Tapi bila dia mula menjejaki anak tangga, "Subhanallah!" si anak terkejut melihat najis bejejeran di anak tangga dan dilaman rumah. "Mak sakit perut rupanya," bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga. Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga. Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

"Tak sembahyang Maghrib ke?" Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah. "Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak takhir dengan Isyak nanti." Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini. "Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hambamu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu... aku bersyukur pada mu Ya Allah!" sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati. Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih.

Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Hadis Nabi saw : "Hinalah umatku, hinalah umatku, dimana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari Allah SWT"

Gambar dari flickr.com/photos/firenzesca

Khamis, Disember 25, 2008

Kuliah maghrib Saifulislam yang mencetuskan inspirasi

Salam buat pembaca sekalian. Agak lama tak menulis di blog WK sebab aku agak sibuk dengan urusan walimah sepupuku di Tasek, Ipoh pada Aidiladha yang lalu. Kemudian disusul pula dengan program orientasi Taaruf Week untuk pelajar baru UIA.

Aku sudah lama tidak berada dalam studio dan kelas untuk belajar. Kali terakhir ialah pada bulan Mac yang lepas. Disebabkan semester lepas aku menjalani praktikal, maka aku seperti hilang arah dan tidak bersedia. Padahal semester ini merupakan semester terakhir sebagai pelajar UIA, InsyaAllah. Selepas tamat sesi taklimat oleh Ketua Jabatan pada petang Isnin, aku terus balik ke rumah. Aku pergi blog saifulislam.com dan tengok jika Ustaz Hasrizal akan mengadakan kuliah seperti biasa di Surau An-Naim. Disebabkan aku kelapangan, aku pun pergi.

Tapi hari itu agak berlainan. Ketika aku tiba di surau itu, aku nampak beliau sedang memasang LCD projektor. Kagum sekejap. Padahal sewaktu di Pulau Pinang aku pernah mendengar kuliah Prof. Madya Dr. Abdul Halim yang dibantu oleh paparan LCD juga. Ustaz pun cakap yang itu merupakan kali pertama di surau itu kuliahnya dibantu dengan paparan LCD.

Beliau memberi mukadimah berkaitan kerja dan program yang telah dijalankan. Lepas tu barulah beliau menyampaikan kuliah yang bertajuk Sejarah dalam Islam. Kalau sirah nabi, aku memang akan teringat beberapa kisah. Tapi malam tu beliau bercerita pasal penawanan Constantinople dan pembukaan kota Istanbul. Kalau aku tulis entri ini malam Isnin tu, pasti aku ingat lagi nama-nama tokoh yang terlibat dalam sejarah itu. Bab sejarah ni memang aku tak suka sangat. Tapi hari tu aku bertahan juga walaupun syaitan berusaha membuatku mengantuk.

Aku tertarik dengan konsep Syariatullah dan Sunatullah yang disampaikan. Alhamdulillah aku diingatkan kembali dengan konsep itu. Dulu memang aku aplikasikan perkara itu sewaktu belajar pada semester yang lepas. Secara ringkas, Syariatullah tu apa bila seseorang Muslim mematuhi segala ajaran Islam, fardhu ain dan kifayah. Manakala Sunatullah itu perkara berkaitan dengan hukum alam, sains dan logik. Kalau nak berjaya, kita hendaklah berusaha mencapai yang terbaik dalam kedua-dua aspek, Syariatik and Saintifik. Boleh baca lebih lanjut di sini.

Alhamdulilah, dalam kuliah yang ringkas itu, banyak juga yang kupelajari. Yang penting, aku telah kembali bersemangat untuk berjuang sebaik mungkin untuk semester terakhirku. Kagum juga pasal sejarah penawanan Constantinople dan pembukaan Istanbul. Harap beliau akan kemaskini blognya pasal itu juga. Sekian, selamat meneruskan perjuangan di semester baru. Doakan agar kita sentiasa berjaya di dunia dan akhirat. Wassalam.

P/S - kagum lagi dengan beliau sebab beliau seorang berfikir dalam bentuk visual juga (visual thinking) dan kagum juga sebab beliau rajin buat grafik dalam slideshow

Selasa, Disember 02, 2008

Nasihat Luqman kepada anaknya

Salam kepada semua.

Juga salam teramat rindu kepada kedua ibubapaku yang sudah 19 hari meninggalkan kami untuk ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Moga Allah mempermudahkan segala urusan kalian.

Kali ni tak ada apa sangat nak dikongsikan. Cuma bila ibubapa kita tiada bersama di rumah rasa sunyi je (walaupun ketika sepanjang sem memang saya jarang pulang ke rumah kerana agak sibuk). Sunyi tanpa arahan, gurau senda, nasihat dan cadangan rasional mereka. Sunyi macam ada satu kehilangan. Macam tiada ‘feel’ duduk kat rumah tanpa suara mereka. Alhamdulillah mereka hanya pergi untuk seketika dan doaku moga mereka selamat pulang.

Bila terbaca Surah Luqman, dapatlah kita hayati nasihat Luqman kepada anaknya.

PETIKAN DARI AL-QURAN(SURAH LUQMAN AYAT 12-19)

12. Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji".
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.
15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
16. (Luqman berkata), “Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Mahateliti
17. Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.
18. Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.
19. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Baiklah,hm..dalam ayat 14 ada menyebut tentang suruhan Allah kepada kita agar berbuat baik kepada kedua ibubapa kita. Sebenarnya kalau kita fikir balik, apa la sangat segala pengorbanan yang kita buat untuk ibubapa kita kalau nak bandingkan segala pengorbanan mereka terhadap kita sejak kita lahir sampailah kita dah besar sekarang. Dan kalau kita terasa berat (atau kadang-kadang malas) untuk melakukan apa yang mereka minta, kita kena ingat bahawa mereka tak pernah pun nak mengeluh bila anak-anak mereka minta apa-apa walaupun kadangkala susah untuk mereka tunaikan.

Hm..bila masa-masa begini, masa ibubapa tiada untuk sementara inilah, kita akan muhasabah betapa besarnya jasa ibubapa yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang tanpa meminta balasan apa-apa pun. Tapi saya pasti anda semua mesti lagi kerap muhasabah diri? Tak kan nak tunggu mak ayah kita pergi buat beberapa ketika baru nak muhasabah..sob3.

Pada hari ini, 2 Disember, sempena ulang tahun kelahiran abahku yang ke-42, kukirimkan salam sayang dan kupinta daripadaMu, “Wahai Rabbku, ampunilah aku dan kedua orang tuaku. Wahai Rabbku, rahmatilah keduanya sebagaimana mereka mendidikku di waktu kecil."
Aku amat merindui abah dan ummiku. Moga kalian beroleh haji mabrur. Pulanglah dengan selamat ye.

Jumaat, November 21, 2008

Sheikh Yusuf Estes vs RakanSiswa

Adakah anda kenal dengan Sheikh Yusuf Estes? Mungkin kebanyakan daripada orang Malaysia tidak mengenali beliau. Aku tak pernah dengar pun cerita mengenai beliau sehingga dua bulan lepas ketika berada di Penang. Secara ringkasnya, beliau merupakan seorang personaliti dakwah dari Amerika Syarikat. Bulan ini beliau mengadakan ceramah jelajah Malaysia. Kalau artis terkenal datang Malaysia, pasti mendapat liputan meluas dari pihak media. Tapi takpe. Internet dan blog bakal menjadi media arus perdana tak lama lagi. Dengan hormatnya, aku nak mempromosikan jadual jelajah beliau di sekitar Lembah Klang.
  • WHO SHOULD WE FOLLOW: EAST OR WEST?
    8.30pm, 22nd Nov 2008, Pertubuhan Al-Khadeem Lot 1034, Jln Cempaka, Sg Kayu Ara, PJ
  • CHALLENGES FOR MODERN MUSLIMS IN DA'WAH
    9am, 23rd Nov 2008, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam
  • REVIVING THE SUNNAH
    8pm, 23rd Nov 2008, Multi-purpose hall, Masjid Wilayah, Kuala Lumpur
  • THE TRUTH ABOUT MUSLIMS "All you want to know but never dared to ask"
    8pm, 24th Nov 2008, MBSA Hall, Bukit Jelutong, Shah Alam
  • LIFE: A PRISON OR PARADISE?
    8pm, 25th Nov 2008, Masjid USJ 2, Subang Jaya
  • TERRORISM, ISLAM IN THE WEST
    8.15pm, 26th Nov 2008 Al-Nidaa' Office TTDI, Kuala Lumpur
  • FAITH, SCIENCE AND COMMON SENSE
    8pm, 28th Nov 2008, Multi-purpose hall, Menara TM
Jangan lupa salin ke dalam kalendar anda. Dijemput hadir beramai-ramai. Kalau ada kenalan atau rakan sekerja yang beragama Kristian, apa salahnya ajak mereka sekali seandainya mereka tidak sibuk pada waktu malam. Inilah masanya untuk menerangkan apakah itu ajaran Islam yang sebenarnya. Kalau terbuka pintu hati mereka untuk menerima hidayah Islam selepas ini, Alhamdulillah.

Minggu lepas, aku telah menghadiri ceramah beliau di Kompleks Masyarakat Penyayang di Georgetown, Penang. Topik pada malam itu mengenai 'Historical Jesus and his message'. Beliau telah mengupas mengenai beberapa ayat-ayat dalam Bible yang bercanggah antara satu sama lain berkaitan sejarah dan keturunan Jesus ataupun Nabi Isa a.s.

Kesimpulan dari ceramah itu, beliau menyeru agar kita sentiasa mempelajari bahasa Arab bahasa Quran serta mengkaji apa yang terkandung didalamnya. Nampaknya beliau agak berani ketika mempersoalkan terjemahan Quran itu. Memang benar. Yang datang dari Allah itu dalam bahasa Arab tapi terjemahan dalam bahasa Inggeris itu daripada para ulama'.

Rakansiswa.com - cubaan untuk menarik orang Melayu masuk Kristian
Beberapa bulan yang lalu, kalau anda ada perhatikan iklan Google di dalam mana-mana website, pasti anda perasan mengenai iklan Rakansiswa.com ini. Ini merupakan beberapa cara mereka mempromosi laman web mereka menerusi Google.
  • Sebuah Jawapan, Kenapa?
    Jika Tuhan Yang Mengawal Dunia Kenapa Dunia Ini Tak Terurus
  • "Saya Benci Hidupku"
    Rencana yang memberi anda jalan menjadi diri anda sebenar
  • Adakah Tuhan wujud?
    Enam sebab mengapa anda harus mempercayai Tuhan
  • Ringkasan mengenai Yesus
    Bukti dari hidup Yesus yang boleh dipercayai
Tapi kini, tempoh promosi dah tamat tapi lagi pelik sebab akaun mereka dah suspended. Tapi ada pula blog yang nak counter Rakansiswa iaitu Menilai Semula RakanSiswa.com yang ingin membetulkan beberapa info yang salah mengenai Kristian. Bagi aku tak pelik sebab Kristian itu ada pelbagai mazhab yang agak bercanggah antara satu sama lain.

Bukanlah aku nak persoalkan pasal cara mubaligh Kristian yang moden ni. Aku hormat dengan cara mereka juga sebab mereka sanggup untuk melabur dalam Google semata-mata untuk mempromosikan ajaran Kristian. Pernah tak anda terlihat iklan-iklan yang daripada laman web Islam? Mungkin ada tapi jarang la. Orang kita khususnya orang Melayu Islam itu sendiri nampaknya lebih sanggup melabur dan membuat promosi cara-cara menjana wang di internet.

Aku taknak mengulas isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tapi aku kagum dengan konsep dakwah Kristian ni. Sasaran utama mereka adalah orang Melayu. Itulah sebabnya iklan tersebut menggunakan bahasa Melayu. Pengajarannya, kalau kita nak berdakwah kepada orang bukan Islam di Malaysia dan menggunakan Google, kita hendaklah guna bahasa ibunda mereka.

Panjang pula entri kali ni. Sekian saja entri minggu ini yang agak panjang. Terima kasih sudi membaca.

Selasa, November 18, 2008

Nikmat yang sering kita lupakan

Salam buat pembaca sekalian. Hm..Mungkin disebabkan sedikit sibuk dengan projek final untuk subjek Architectural Design (Studio)- 6 jam kredit - menyiapkan drawings - lukisan-lukisan untuk proposal pembinaan sebuah Pusat Seni Bela Diri di Terengganu, (sibuk sejak bulan puasa lagi sebenarnya) maka saya tidak dapat meluangkan masa untuk mencoret idea-idea berkisar warna-warni kehidupan di sini.

Baiklah mungkin ada yang tertanya-tanya..apakah nikmat yang sering dilupakan oleh manusia? Sesungguhnya Allah memberikan kita nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Namun, tedapat nikmat yang kita sering lupakan.

Menurut Ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w telah bersabda:Maksudnya:
“Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan kelapangan.” (Sahih Bukhari)
Mari kita berfikir sejenak.. Kenapa nikmat kesihatan ini kurang kita ambil peduli? Ini adalah disebabkan selagi belum datangnya sakit, kita lupa bahawa sebelum ini kesihatan kita adalah nikmat dan anugerah Allah yang amat besar.

Sebenarnya saya ingin mengingatkan diri saya dan juga rakan-rakan kerana pengalaman saya sendiri yang sakit apabila saat-saat akhir hampir tiba hari presentation final project, sakit selepas selesai siapkan segala projek dan portfolio, masa saya nak beraya (tinggal lebih kurang 10 hari saje Syawal ketika itu) menyebabkan terlantar dan tidak dapat ke open house-open house lecturer dan kawan-kawan, sakit ketika beberapa hari sebelum final exam, dan sakit beberapa hari pada masa hendak selesaikan assignment sebelum pulang bercuti dan sakit ketika awal-awal cuti (ok mungkin anda akan cakap kenapa banyak sangat sakit budak ni?)..tapi memang benar dan tak tipu. Macam-macam kesakitan ini adalah ujian daripada Allah.

Apabila sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai kesihatan. Ketika manusia tidak sedar nikmat sihat, sudah tentu mereka tidak lagi mengingati Allah dan tidak lagi bertakwa kepada-Nya. Sebaliknya, mereka akan bersenang-lenang melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan 'orang yang telah kufur nikmat', iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang-Nya. Ingatlah, nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah ini pasti akan dipersoalkan kelak pada hari akhirat sama ada ia dimanfaatkan atau dipersia-siakan.

Menurut Abu Barazah al-Aslami r.a., Rasulullah s.a.w telah bersabda: Maksudnya:
"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba di hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apa yang diamalkan dari ilmu itu, tentang hartanya dari mana hasilnya dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa ia dimanfaatkan." (at-Tirmizi)
Maka setiap hari, apabila bangun sahaja dari tidur, sihat tubuh badan segala, bersyukurlah kepada-Nya. Marilah kita jadikan kesihatan ini sebagai satu medium untuk mempermudahkan kita sebagai seorang hamba melakukan ketaatan kepada-Nya. Jangan sampai sihat ini akan melalaikan kita pula ya.

Moga Allah permudahkan segala urusan kalian (yang baik-baik). *wink*

Rujukan:
Sakit di Bulan Ramadhan: Nikmat atau Musibah oleh Abu Ruwais Al-Syubrawi

Jumaat, November 07, 2008

Khutbah Jumaat di Masjid Muadz Bin Jabal

Salam Jumaat buat semua pembaca. Ini kali pertama aku nak kongsi pasal khutbah Jumaat di tempat aku pergi menunaikan solat Jumaat tadi. Masjid Muadz Bin Jabal terletak di Setiawangsa, berhampiran dengan stesen LRT Setiawangsa. Setiawangsa terletak dalam Kuala Lumpur, maka aku pasti khutbah itu telah disediakan oleh pihak JAWI sendiri.

Semasa dalam perjalanan ke masjid, kusangkakan mimbar akan menyampaikan khutbah berkaitan isu semasa. Tapi aku kagum sebab ini rasanya pertama kali mendengar khatib membicarakan soal keajaiban manusia. Secara ringkasnya mengenai penciptaan manusia, bermula dari air mani, seketul darah (zigot), daging, tulang dan akhirnya tulang itu dibaluti dengan daging. Seperti dalam Surah Al-Mu'minun: 12-14;
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik."
KHUTBAH MULTIMEDIA
Bagus juga khutbah masjid di sini sebab mengaplikasikan penggunaan multimedia untuk memberikan penyampaiannya lebih berkesan. Aku rasa pastinya penyampaian berkaitan penciptaan manusia akan lebih berkesan kalau menggunakan gambar. Sambil mencari gambar untuk entri ni, terjumpa dengan web JAWI yang menghimpunkan semua koleksi khutbah dalam format PPT dan PDF. (Sumber: Khutbah Multimedia) Lain kali, kalau anda terlepas khutbah sebab terlena, bolehlah dapatkan softcopy khutbah ini untuk bacaan anda.

ZAMAN SEKOLAH
Tajuk penciptaan manusia ini aku belajar sewaktu di menengah rendah di dalam subjek Pendidikan Agama Islam dan Sains. Tapi selepas aku pindah ke sekolah teknik, aku tidak belajar subjek biologi lagi. Rupa-rupanya masih banyak lagi terminologi berkaitan dengan sperma yang aku tidak ketahui. Kelakar juga melihat kawanku berusaha menghafal nama-nama sperma yang pelbagai tu.

Tapi di sekolah teknik juga, aku berpeluang menonton dokumentari Creation of Man, berdasarkan huraian dari Harun Yahya. Aku memang kagum dengan dokumentari tersebut. Tapi aku mengantuk sewaktu menonton dokumentari tersebut. Mungkin kalau pihak Discovery Channel buat versi mereka yang menggabungkan CGI yang mantap, dapat menghasilkan dokumentari yang mantap. Rujuk kepada siri dokumentari Human Body : Pushing the Limits.Bukan sahaja CGI yang mantap, tapi dengan jalan cerita yang menarik, pasti aku takkan mengantuk.

Sekian entri khutbah Jumaat minggu ini. Wassalam.

Rabu, Oktober 15, 2008

Bersalaman dan isu mahram

Salam buat semua pembaca yang budiman. Isu kali ini nak menyentuh soal bersalaman dan juga mahram. Saja nak ingatkan pasal isu ini kerana sekarang musim perayaan. So tatkala kita pergi berkunjung ke rumah terbuka, pasti kita akan bersalaman dengan orang yang kita kenal.

Sebelum memulakan perbincangan ini, saya nak rujuk kepada blog SoalJawab.wordpress.com yang pernah membincangkan isu ini. Saya pernah bertanyakan dalam forum juga mengenai isu ini. Dengan merujuk Al-Quran, Surah An-Nisa ayat ke-23 yang menyatakan mahram bagi kaum wanita.
Definisi
Mahram adalah mereka yang haram dinikahi. Mahram bagi lelaki untuk boleh berlaku dengan tiga sebab:

1. Persaudaraan / keturunan:
a. Bapa,Ibu, nenek disebelah ibu dan bapa atau yang disebut sebagai asal-usul seseorang.
b. Anak perempuan, cucu perempuan bagi anak-anak.
c. Adik beradik samada seibu sebapa atau adik beradik tiri.
d. Anak-anak saudara seibu sebapa atau tiri.
e. Ibu-ibu dan bapa-bapa saudara sebelah ibu bapa.

2. Perkahwinan
a. Isteri bapa dan isteri datuk.
b. Suami ibu dan suami nenek.
c. Menantu.
d. Cucu.
e. Mertua.
f. Anak-anak tiri isteri dengan syarat setelah meniduri isteri terlebih dahulu.

3. Penyusuan:
a. Ibu susuan dan dan keturunannya disebelah atas ( ibu kepada ibu susuan, bapa kepada ibu susuan.
b. Adik beradik susuan.
c. Anak-anak kepada adik beradik susuan.
d. Suami kepada ibu susuan.
e. Ibu saudara susuan disebelah bapa ataupun ibu (iaitu mereka yang menyusu dengan ibu yang sama dengan ibu dan bapa kita)
f. Anak perempuan susuan yang disusukan oleh isteri.

Bersalaman
Cuba baca dan fahamkan hubungan seperti senarai di atas. Tapi kalau nak ambil jalan selamat, jangan bersalam dengan sepupu yang berlainan jantina. Kalau sekadar pakcik makcik yang memang keturunan atau adik beradik ibubapa takde masalah. Senang je. Kita tak payah nak hulur tangan nak bersalam. Cakap la, "Tak boleh salam la..". Bayangkan betapa mudahnya nak dapat pahala bulan Ramadhan yang lepas tapi senang je nak dapat dosa bulan Syawal ni.

Bukan Mahram?
Tetapi anda diharapkan tidak keliru antara mahram dengan bukan mahram. Memanglah mereka juga rapat dengan kita bagaikan keluarga sebab dah kenal sejak kecil, tapi kena jaga adab, jangan bersentuhan dan hendaklah menutup aurat. Kalau lelaki takde masalah, tapi kalau perempuan, sebaiknya hendaklah memakai tudung walaupun di dalam rumah.

Updated
Ramai antara kita ada kemusykilan jugak berkaitan isu bersalam dengan bukan mahram. Sini ada sedikit maklumat yg dipetik dr al-Fikrah.net. Boleh baca untuk bacaan dan huraian yang jelas.

Pendapat yg rajih ialah pendapat ahli hadis: menjauhi budaya berjabat salam dgn perempuan

Pendapat yg boleh diterima: boleh bagi orang yg memerlukan berbuat demikian dgn mematuhi dua syarat spt yg digariskan oleh Dr Qardhawi.
(Sumber)

P/S - tu gambar aku dengan sisters ku yang diambil sempena Hari Raya 2006. Gambar raya tahun ni belum cuci lagi :P

Sabtu, Oktober 11, 2008

Puasa Sunat Syawal

Salam buat semua pembaca yang dihormati. Minggu ini dengan suka hatinya saya nak berkongsi artikel yang dipetik dari blog Ustaz Zaharuddin.net bertajuk Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah.

Elakkan riak dalam ibadah
Hal ni kadang-kadang terkena juga pada diri sendiri. Apabila orang bertanya dah berapa hari puasa sunat, jawapan kita mungkin akan berunsur riak. "Aku da puasa 5 hari, kau baru sehari?" Disebabkan riak tu membawa kepada syirik kecil, maka lebih baik guna jawapan selamat. "Baru je start puasa.." Tapi nak tipu pun tak baik jugak.

Puasa Wajib vs Puasa Sunat?
Puasa sunat 6 hari Syawal cuma puasa Sunat. Jangan sibuk nak kejar "ibarat puasa sepanjang tahun" tapi puasa wajib tak ganti lagi. Seandainya esok lusa mati disebabkan kecelakaan jalan raya, mati kita tu masih berhutang dengan Allah. Maka, utamakan yang wajib baru buat yang sunat.

Sedikit kisah hidupku
Mulanya aku berniat nak puasa terus 6 hari, tapi kawan-kawan dah aturkan lunch special hari Khamis lepas, tak dapat la nak buat. Takpela. Boleh sambung lain hari insyaAllah.Tapi agak susah nak puasa waktu hujung minggu sebab banyak orang buat rumah terbuka. Hari yang terbaik ialah hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat.

Sekian saja entri minggu ini, semoga kawan-kawan dapat sedikit manfaat dari tulisan saya.