Halaman

Memaparkan catatan dengan label lailatul qadar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lailatul qadar. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 29, 2011

Refleksi Ramadhan 1432H

Salam. Akhirnya bulan Ramadhan yang mulia bakal melabuhkan tirainya. Cepat sungguh masa berlalu.

Aku ingin berkongsi pengalaman Ramadhan di negara orang yang memang sangat berbeza berbanding Ramadhan di Malaysia apatah lagi di negara yang Islam bukan agama majoriti.

Waktu Sahur dan Berbuka Puasa
Di Australia yang beriklim 4 musim, dan Ramadhan jatuh pada penghujung musim sejuk., Waktu malamnya lebih panjang daripada waktu siang. Subuh pada hari ini ialah 4.53am sementara waktu maghrib ialah pukul 5.33am. Aku berpuasa lebih kurang 12.5 jam setiap hari. Kalau di Malaysia puasa lebih sejam je. Tak banyak beza pun.

Iftar di masjid dan universiti
Sempat juga beberapa kali aku pergi iftar di masjid. Dapatlah juga merasa makan daging lembu dan kambing. Selalu masak ayam saja di rumah. Di masjid makan dalam dulang bersama jemaah yang lain.
Ketika sedang iftar di universiti
Sementara itu, persatuan pelajar Islam di universiti juga turut menganjurkan iftar mingguan. Dapat makan macam-macam dengan bayaran $2.

Solat Tarawih
Ramadhan kali ini juga yang pertama aku lalui sebagai seorang suami. Selain bertarawih di masjid, aku juga mengimami solat tarawih isteriku di rumah. Alhamdulillah serba sedikit dapat memperbaiki tahap hafalan surah dari Juz Amma.

Waktu bekerja macam biasa
Teringat lagi kalau di Malaysia, boleh mula kerja awal setengah jam dan boleh balik awal. Masa praktikal, siap boleh balik awal sejam sebab ganti sejam waktu rehat tengahari. Di sini kerja macam biasa. Tak dapat balik awal. Ada dua tiga kali juga aku berbuka dalam kereta sebab waktu maghrib 5.20pm.

Khatam Quran
Alhamdulillah aku berjaya untuk menghabiskan 30 juzuk Quran dalam tempoh 29 hari. Aku baca 10-12 muka sebelah pagi dan 10-12 muka sebelah malam. Kalau baca waktu pagi nanti kering tekak. Tu yang baca lagi separuh waktu malam. Boleh minum kalau dahaga.

Qiyamullail
Ramadhan kali ini juga aku lebih bersemangat untuk solat tahajud sebelum sahur. Bila dah ada isteri yang sentiasa memberi dorongan, bertambahlah motivasi untuk bangun awal dan solat malam. Selalunya aku bangun antara pukul 4.00-4.30am. Kalau bangun awal lagi boleh solat lebih sikit.

Mencari Lailatul Qadar
Aku tak pasti bila rasanya malam Qadar ni. Tapi pada pagi 27 Ramadhan hari tu rasa cuaca dingin dan nyaman. Mungkin betul mungkin tak. Tapi bersama-sama la kita berharap agar kita mendapat pahala lebih banyak dari amalan 1000 bulan.

Program Jelajah Australia Aqsa Syarif
Aku juga turut terlibat dengan program Aqsa Syarif di Australia. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan Dr. Hafidzi turut selesai program di 5 bandar utama serta mendapat sumbangan mencecah RM100k dari komuniti Muslim di sini. Kalau di Malaysia, aku pasti lagi sibuk dengan program dan sebagainya!


Tiada Bazaar Ramadhan
Kalau di Malaysia, setiap kali bulan puasa mesti nak beli juadah berbuka puasa. Tapi memang tiada bazaar seumpamanya di sini. Demi nak melepaskan rindu makan kuih-muih ketika berbuka ataupun moreh, kami pun terpaksalah buat sendiri. Beli tepung, daun pandan, sagu, jagung, kelapa dan menggunakan kreativiti sendiri untuk buat kuih yang sedap.
Kuih bakar yang dimasak oleh isteri
Tiada Bufet Ramadhan
Teringat lagi kalau pergi berbuka bufet Ramadhan di hotel. Makanan memang banyak dan biasanya tak sempatlah nak bertarawih di masjid. Tapi takde pun buffet kat sini. Kalau nak juga kena sertai iftar mingguan di masjid. Masjid mengadakan iftar keluarga dan potluck. Dapatlah merasa pelbagai juadah yang dibuat oleh qariah masjid.

Penentuan bulan Ramadhan dan Syawal
Di Australia, masyarakat Muslim menggunakan kaedah melihat anak bulan untuk menentukan tarikh permulaan Ramadhan dan juga Syawal. Tarikh mula Ramadhan sama dengan Malaysia tapi ada khilaf pula berkenaan tarikh mula Syawal. Aku harap dapat la menyambut hari raya pada 30 Ogos esok.

Sekian coretan di penghujung Ramadhan 1432H. Banyak hikmah yang dapat kupelajar di sini. Nantikan pengalaman berhari raya dalam entri akan datang.

Adlan Khalidi
Newcastle, NSW Australia
29 Ogos 2011, 29 Ramadhan 1432H

Khamis, September 10, 2009

10 malam terakhir: Strategi si pelumba lari

Salam kepada semua.

Tinggal lagi 10 hari sahaja lagi kita di bulan Ramadhan ini, jadilah kita seperti pelumba lari 4x100m di mana pada awal lariannya (awal Ramadhan hingga ke pertengahannya) steady dan maintain saja, tidak terlalu lambat, tidak terlalu gopoh menyimpan tenaga untuk menyempurnakan larian. Di kala hampir sampai ke garisan penamat (10 malam terakhir), terus pecut, keseluruhan tenaga dicurahkan dan di mata hanya nampak kemenangan (lailatul Qadar).

Rakan-rakan, siapa yang keluar dari bulan Ramadhan dan tidak diampunkan dosanya walau sedikitpun, amat malang la dia. Na’uzubillah.

Masih belum terlambat, tapi kena cepat sebab Ramadhan akan pergi meninggalkan kita tak lama lagi.

Gambar dari www.flickr.com

Sabtu, September 27, 2008

Kuliah Subuh Ustaz Mohd Syafiq (1)


Salam kepada para pembaca. Pagi tadi baru mendengar kuliah subuh di Surau An-Nur Lebuh Nipah oleh Ustaz Mohd Syafiq.

Rasanya, ini kali pertama mendengar kuliah daripada beliau. Cara penyampaian yang santai dan menarik. Kalau tak pasti aku dah tertidur. Antara cara aku tak nak mengantuk ialah dengan menyalin isi-isi penting yang disampaikan olehnya. Sementara masih segar lagi ni, maka rasanya baik la dikongsikan bersama para pembaca untuk manfaat bersama. Topik kali ini menyentuh sedikit berkaitan Lailatul Qadar dan juga cara sambutan Aidilfitri.

Lailatul Qadar (LQ)
Manusia selalunya suka buat kerja last minute. Maka, Allah pun memberi LQ supaya kita boleh fokus untuk ibadah pada malam-malam terakhir. Selalunya masjid dan surau akan lengang saja sebab semua orang dah balik kampung seawal yang mungkin. Rugilah.

Hal lain boleh buat last minute tapi soal ibadah? Solat pun terkadang kita lewatkan atas soal kerja. Kali ini Allah dah bagi peluang untuk fokus ibadah last minute dalam konteks yang baik tapi lebih ramai yang suka untuk ibadah awal ramadhan berbanding 10 yang akhir.

Siapa yang tak layak dapat LQ?
Malaikat Rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah kita kalau kita ada gambar atau patung yang dipamerkan. Patung tu seperti haiwan ataupun action figure. Kalau macam permainan kanak-kanak, lepas main terus simpan dalam kotak tak mengapa. Selalu orang pegi melancong bawa balik Merlion dari Singapura, ikon binatang dan sebagainya, dan letak magnet atas peti sejuk, maka rugilah juga. Bila kita dah pamerkan, jadi macam sesuatu yang kita banggakan. Kalau takat permainan tu tak bangga pun.

Selain itu, rugi juga kalau orang itu rajin beribadah, solat malam dan sebagainya tetapi dia seorang yang ketagih dengan arak. Orang yang derhaka dengan ibubapa juga termasuk dalam golongan ini. Ini termasuk juga sekiranya kita mengguriskan hati mereka seperti tidak menziarahi dan tidak bertanya khabar dengan mereka (Berkaca mata aku tatkala mendengar hal begini). Yang ketiga ialah mereka yang memutuskan silaturrahim seperti berdendam dan tidak mahu memaafkan seseorang itu.

Tanda-tanda LQ?
Antara tanda-tanda yang popular berkaitan LQ ialah apabila air laut yang masin menjadi tawar tatkala seseorang itu mahu mengambil wudhu. Malam itu juga malam yang tenang dan sunyi, tiada mat rempit atau bunyian mercun. Malam itu juga bintang tidak kelihatan terang seperti biasa. Malah pada siang harinya juga tak seterik biasa. Redup mata memandang. Maka kalau kita nak beribadah, tak perlu la menanti tanda-tanda ini. Yalah, kalau sudah siang baru nampak tanda tu, maka bukankah satu kerugian kalau kita tak beribadah pada malam itu?

Perbezaan Zon Masa
Terdapat juga perbezaan zon masa berkaitan bulan Ramadhan ini seperti di Asia Tenggara dan juga di Timur Tengah. Biasanya mereka awal sehari. Mungkin di sini malam ganjil tapi di sana malam genap. Maka, kalau nak senang, teruskan saja beribadah sepanjang 10 malam itu. Ingat lagi pada bulan Ramadhan yang cuma ada 29 hari?

Berdoa semasa sujud
Sujud semasa solat merupakan kedudukan kita yang paling rapat dengan Allah. Maka tak semestinya kita perlu sujud lama untuk berdoa pada sujud yang terakhir, kalau itu sujud yang pertama pun masih sama. Tapi kalau kita sedang mengimami jemaah, kenalah berhati-hati supaya jemaah tak keliru atau menyampah dengan kita. Sebaiknya utamakan memohon untuk kebaikan di akhirat dan kemudian baru berdoa untuk kebaikan di dunia. Contoh minta ampun dosa dan elak dari api neraka, kemudian baru minta murah rezeki dapat jodoh etc..

Perempuan yang datang bulan
Ada juga wanita yang seronok sekiranya datang bulan pada minggu terakhir Ramadhan ini. Maklumlah ini masanya untuk mereka fokus membuat kuih raya dan segala persiapan untuk berhari raya. Sepatutnya kena fokus untuk ibadah juga. Tapi kalau dah tak boleh solat dan baca Quran nak buat macam mana? Maka sebaiknya kaum Hawa boleh la berzikir sepanjang malam seperti bertasbih dan bertahlil. Zaman sekarang dah canggih, dalam kereta atau depan komputer, boleh juga pasangkan audio bacaan Al-Quran. Senang juga.

Sekian, bahagian pertama. Ikuti bahagian kedua berkaitan sambutan Aidilfitri cara Islam.