Warna Kehidupan

Diubah oleh Falcon Hive


Salam kepada pembaca sekalian.

Apabila ditimpa musibah, apa-apa musibah la dari yang kecil-kecil seperti kehilangan sepasang kasut mahal berwarna ungu yang cantik dan masih baru, tingkap kereta dipecah dan barang-barang berharga dicuri oleh pencuri professional atau musibah-musibah yang lebih berat seperti perlu extend study disebabkan isu-isu rumit (dan mungkin ketidakadilan para pensyarah), putus tunang akibat salah faham dan masalah keluarga yang dahsyat menyebabkan tekanan perasaan membawa kepada kemurungan (tiada kaitan dengan yang hidup atau mati) serta lain-lain..

..Kita sebagai manusia akan bertindak refleks atau memberi respon terhadap situasi-situasi ini. Cara kita mengekspresi diri terhadap perkara-perkara ini mungkin berbeza. Kita mungkin akan redha atau memberontak terhadap takdir. Kita mungkin akan berfikir positif atau rasa seperti dunia sudah berakhir bagi kita. Kita juga mungkin akan ingat untuk mengucapkan nama-nama Allah atau sebaliknya, kata-kata carutan ketika ditimpa musibah-musibah ini.
Adakalanya dalam sedar atau tidak, walau kita rasa kita sudah cukup redha dan percaya ada hikmahNya akan setiap yang berlaku itu, kita mungkin lupa bahawa itulah di mana letaknya beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah.

Secara ringkasnya, 'Qada’ dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.'

Semuanya telah ditetapkan di Luh Mahfuz dan Luh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan. Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Luh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: 'Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali
perbuatan yang baik.' (Riwayat Tirmizi)

Berkaitan dengan topik ini, bagi memujuk diri apabila kesusahan demi kesusahan datang dalam hidup ini, Al-Qur’an telah menyatakan:

'Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.' (At-Taubah:51)

'Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (At-Taghabun:11)

'Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.' (Al-Imran:108)

Rakan-rakan, dalam menghadapi dunia yang fana ini, marilah kita sentiasa berdoa, kerana kita memang hanya mampu berusaha dan berdoa. SesungguhNya Dia-lah yang menentukan setiap sesuatu. Yang penting marilah kita berdoa moga diberi yang terbaik buat kita semua kerana hanya Allah Maha Mengetahui dan kita tidak mengetahui.




Salam. Seperti yang anda boleh saksikan, blog ini telah berwajah baru. Selama ini aku keliru bagaimana pengisian yang sesuai untuk kedua-dua blog aku. Maka kali ini, aku memutuskan untuk menjadikan kedua-dua blog berbeza antara satu sama lain.

Warna Kehidupan
Blog ini akan membicarakan pengalaman hidupku, disamping isu semasa yang berkaitan dengan Islam serta sedikit perkongsian ilmu, yang sahih yang diperolehi dari sumber rujukan yang boleh dipercayai. Blog ini akan menggunakan bahasa melayu sepenuhnya dan disasarkan kepada pembaca Melayu Nusantara.

AdlanKhalidi.com
Mulai 2010, blog AK.com akan dihiasi dengan artikel dan kompilasi bertemakan rekabentuk, teknologi serta pembangunan laman web. Blog tersebut juga akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dan disasarkan kepada pembaca berbahasa Inggeris di seluruh dunia.

Mulai tahun 2010 juga, aku akan cuba untuk mengemaskini blog ini sekurang-kurangnya dua minggu sekali, InsyaAllah.

Salam. Dah lama tak update blog so hari ni nak bicara tentang isu potong.

Potong P1 Wimax
Secara peribadi, aku masih lagi setia dengan Streamyx. Kalau internet lambat sekalipun, itu namanya dugaan, untuk menguji kesabaran. Lagipun, aku bukan jenis layan Youtube atau main game secara online. Bagi aku, aku takkan potong akaun Streamyx. Bahkan berhajat untuk menaiktarafkan akaun menjadi 2Mbps selepas terbaca di Amanz.my pasal promosi Upgrade Streamyx.

Sunnah ibadah korban - tidak potong rambut dan kuku dari 1 hingga 10 Zulhijjah
Sebelum ni aku tak pernah langsung ambil tahu pasal amalan sunnah ni. Mama ada beritahu, ada mutawif pesan kepada abah sewaktu mereka menunaikan haji tahun lepas, supaya tidak memotong rambut kalau melakukan ibadah korban. Lepas aku Google sampai di sini, dan juga ketika menonton TV, Ustaz Zamri juga memberitahu perkara yang sama. Alhamdulillah, aku berjaya menjalankan sunnah ini. Memang senang tapi kalau orang tu menjaga imej dan penampilan bersih dari jambang, memang rasa leceh.

Gotong-royong korban di masjid - potong daging
Kalau tahun-tahun lepas, aku masih ingat yang kaum wanita di qariah akan bergotong-royong memotong daging. Kali ini, aku secara sukarela mendaftar untuk menjadi petugas di bawah department Memotong, Menimbang dan Membungkus di masjid Al-Ansar Taman Keramat pada minggu lalu. Aktiviti korban telah dijalankan pada hari Sabtu supaya tak berkejar-kejar kalau buat hari Jumaat. 10 ekor lembu telah berjaya disembelih. Buat kali pertama juga, aku ajak abah untuk melakukan satu bahagian korban di sini. InsyaAllah akan diteruskan untuk masa-masa akan datang.

P/S- jari aku terluka semasa potong daging. Maklumla tak biasa kerja dapur!
Salam. Raya pun sudah sampai ke penghujungnya tapi aku saja nak tulis pasal berbuka puasa di Masjid Negara. Sebenarnya bukanlah menjadi sesuatu yang istimewa pun. Tetapi, aku inginkan malam terakhir di bulan Ramadhan itu menjadi bermakna.

Malam terakhir pada tahun lepas 2008/1429H, aku pergi ke UIA untuk solat terawih. Pada tahun lepas, aku praktikal di Pulau Pinang. Sepanjang Ramadhan, aku solat terawih di pelbagai surau dan masjid di sana. Itulah sebabnya pada malam terakhir, tatkala pulang berhari raya di KL, aku mengambil kesempatan untuk berterawih di UIA. Satu malam pun dah memadai untuk melepas rindu di perantauan.

Untuk tahun ini pula, 2009/1430H, aku mengajak ibubapaku untuk berbuka puasa dan berterawih di Masjid Negara. Agak payah nak ajak ibuku berbuka puasa diluar sebab beliau taknak terlepas solat terawih. Kalau berbuka puasa di hotel, kita akan makan sampai pukul 9. Lepas itu, memang tak sempat nak terawih berjemaah.

Satu lagi sebab aku ingin berbuka puasa di Masjid Negara ialah kerana pada tahun 2005, aku juga pernah berbuka puasa dan berprogram di Masjid Negara. Peristiwa itu merupakan entri kedua yang kutulis dalam blog ini.



Selamat berbuka puasa - pekerja asing (AlamFlora) pun berbuka di sini.


Selepas solat terawih 8 rakaat, tinggal satu saf saja.


Moreh bubur kacang dengan mak.

Rasanya, cukup sampai di sini. Sehingga berjumpa lagi. Wassalam.
Salam kepada semua.

Tinggal lagi 10 hari sahaja lagi kita di bulan Ramadhan ini, jadilah kita seperti pelumba lari 4x100m di mana pada awal lariannya (awal Ramadhan hingga ke pertengahannya) steady dan maintain saja, tidak terlalu lambat, tidak terlalu gopoh menyimpan tenaga untuk menyempurnakan larian. Di kala hampir sampai ke garisan penamat (10 malam terakhir), terus pecut, keseluruhan tenaga dicurahkan dan di mata hanya nampak kemenangan (lailatul Qadar).

Rakan-rakan, siapa yang keluar dari bulan Ramadhan dan tidak diampunkan dosanya walau sedikitpun, amat malang la dia. Na’uzubillah.

Masih belum terlambat, tapi kena cepat sebab Ramadhan akan pergi meninggalkan kita tak lama lagi.

Gambar dari www.flickr.com