Halaman

Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 28, 2013

App untuk kira belanja bajet kerja kahwin

Salam.
Memperkenalkan projek web app kahwin pertamaku, BajetKahwin, sebuah app yang mengira untuk mendapatkan anggaran belanja kerja kahwin dengan senang.

Mana datang idea ni?

Idea ni datang  bila aku dapati ramai orang yang suka dengan infografik perjalanan kahwin tradisional orang Melayu di Malaysia.
Selepas tu aku terfikir, kalau aku buat satu lagi artwork untuk bajet kerja kahwin? Tapi semua orang ada kemampuan yang berlainan. So, aku cadang untuk buat sesuatu yang boleh ubah dan interaktif.

Mencabar

Kalau kalian nak tahu, projek ini mula dibangunkan pada bulan Disember 2012. Mas tu aku masih di Australia. Sedikit sibuk sebab aku dalam kena kemas barang untuk balik ke Malaysia.
app-icon2Asalnya nak lancar app ni pada hujung 2012. Tapi Allah sebaik-baik perancang. Dah pulang ke Malaysia, banyak pula hal yang perlu diuruskan. Terpaksalah tangguhkan beberapa minggu.
Setelah mencantikkan coding, user interface dan design logo, dapat juga aku siapkan app ni pada bulan Mac 2013.
Dengan lafaz ‘Bismillahirahmanirrahim’, aku merasmikan web app sulung dari Dezeek Media, BajetKahwin.my versi 1.0.
bk-home
bk-lelaki

Responsif

Ini juga kali pertama aku cuba Twitter Bootstrap. Cuba buka link web app ni guna iPad/tablet ataupun smartphone. Nampak tak perbezaannya?
bk-responsif
Tips: Kalau guna iPhone atau iPad, anda boleh ‘Add to Home Screen’ jika berminat untuk meletakkan logo BajetKahwin pada telefon/tablet anda.
Jika anda ada adik-beradik ataupun kenalan yang bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga, sila kongsi dan hebahkan mengenai aplikasi ni kepada mereka. Terima kasih!
Projek ini telah ditamatkan. Sekarang kami fokus pada projek SEO Malaysia daripada Dezeek Media.

Rabu, Januari 05, 2011

Aku Terima Nikahnya

Alhamdulillah. Kami telah mendirikan rumah tangga pada hari Jumaat 24 Disember 2010 yang lepas.

Majlis pernikahan telah diadakan di rumah Huda diwalikan oleh ayahnya sendiri. Majlis perkahwinan pula diadakan pada 26 Disember 2010 bertempat di Dewan Bankuet, CAC di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Minggu ini, kami akan pergi ke majlis perkahwinan (sambut menantu) di Ipoh pada hari Sabtu 8 Januari 2011.

Nantikan laporan lengkap majlis perkahwinan kami nanti. Sementara itu, gambar-gambar boleh dilihat di akaun Facebook kami.

Wassalam.

Selasa, Disember 21, 2010

Infografik Perkahwinan Orang Melayu di Malaysia

Salam. Sempena dengan majlis perkahwinan aku minggu ini, aku telah menerbitkan sebuah infografik khas bertajuk Majlis Perkahwinan Orang Melayu di Malaysia.

Proses Merisik Meminang dan Berkahwin

Sila klik di sini untuk melihat infografik dalam resolusi yang lebih tinggi.

Infografik ini menerangkan beberapa proses yang berlaku sebelum dan selepas pernikahan.

Antara sebab aku siapkan infografik ini ialah untuk memudahkan aku menerangkan kepada rakan-rakanku sebab aku lebih mudah untuk menerangkan sesuatu perkara secara visual.

Semoga projek kali ini dapat memberi manfaat kepada semua yang ingin melangkah ke peringkat seterusnya.

P/S : Anda dibenarkan untuk menulis dalam blog mengenai infografik ini tetapi hendaklah link kepada website infografik yang asal di AdlanKhalidi.com.

Selasa, November 30, 2010

Perkahwinan Pasangan Muda Sepanjang 2010

Salam. Hari ini aku ingin berkongsi kegembiraan kawan-kawanku yang telah mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.

Mereka berkahwin dalam usia yang sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad S.A.W, iaitu 25 tahun dan ada di antara mereka belum 25 tahun, maksudnya baru 24 tahun lebih dan sudah pun berkahwin.

Sofiyussalam & Husna
5 Jun 2010
23 tahun - Kawan dari UIA

Zaki & Maryam
13 Jun 2010
25 tahun - Kawan dari UIA Kuantan

Faizal & Fariza
25 Julai 2010
24 tahun - Kawan semasa bersekolah di SMAKL.

Amiruddin & Isteri
18 September 2010
24 tahun - Kawan semasa bersekolah di SMTKL.

Shahidan & Fiza
2 Oktober 2010
25 tahun - Ini sepupu aku.

Fakhar & Syila
16 Oktober 2010
25 tahun - Kawan satu studio di UIA

Iszamir & Isteri
16 Oktober 2010
25 tahun - Kawan dari SK Jln Gurney

Farhan & Hazura
27 November 2010
25 tahun - Kawan dari SMTKL dan satu studio di UIA

Kalau perempuan yang kahwin awal tu memang aku tak hairan sangat. Tapi tak semua orang lelaki yang boleh berkahwin pada usia yang muda iaitu sebelum atau pada usia 25 tahun. Memang banyak cabaran dan rintangan terutamanya kewangan dan keluarga.

Tapi aku dapat rasakan mereka yang belajar di luar Malaysia memang ramai yang berkahwin muda. Antara sebabnya mungkin keluarga pihak perempuan tu inginkan seseorang untuk menjaga anak mereka yang belajar di perantauan.

Sesungguhnya jodoh dan pertemuan kita telah ditentukan Allah sejak dari alam roh lagi. Semoga Allah memberkati kawan-kawanku yang telah berumah tangga.

InsyaAllah tahun 2011 ni bakal menyaksikan lebih ramai kawan-kawanku mendirikan rumah tangga.

P/S: InsyaAllah aku menyusul tak lama lagi

Selasa, November 23, 2010

Persiapan Perkahwinan - Mengumpul Wang


Salam. Dalam entri kali ini, aku cuma ingin berkongsi serba sedikit pengalaman yang telah aku lalui dalam tempoh lebih setahun dalam usaha murni untuk mengumpulkan wang untuk mendirikan rumahtangga.

Kerja tetap
Hampir 11 bulan aku bekerja di Dataran Mentari, Sunway sejak tamat pengajian di UIA tahun 2009. Kemudian, aku pun bertukar tempat kerja di Plaza Damas pada bulan Jun 2010 kerana aku mendapat tawaran yang lebih baik. Masa makin suntuk dan aku buat keputusan ini untuk meningkatkan jumlah simpanan dalam 6 bulan terakhir ini.

Kerja Freelance
Aku turut mengambil projek untuk membina laman web secara kecil-kecilan. Walaupun aku mengenakan harga yang murah, tapi bagi aku yang penting ada duit yang masuk. Selain itu, dapat juga aku menambah hasil kerja aku dalam portfolio. Alhamdulillah, hasil dari bekerja secara sampingan, serba sedikit dapat menambah wang simpanan.

Kursus Pengurusan Wang
Aku menghadiri kursus anjuran IKIM ini pada bulan Januari 2010. Dapat juga aku menimba ilmu tentang pengurusan wang setelah berumah tangga. Mungkin terlalu awal aku pergi kursus tersebut tapi tak mengapa sebab aku pun tak tahu bila akan ada kursus sebegini yang akan datang.

Berpuasa Sunat
Antara hadis yang popular mengenai pernikahan ini ialah:
“Wahai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu yg mampu kahwin maka hendaklah ia kahwin kerana kahwin itu dapat menundukkan pandangan mata dan lebih mampu dapat mengekang nafsu dan barangsiapa yg tidak mampu berkahwin, maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu dapat mengekang hawa nafsu” (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai)

Sebenarnya, selain daripada mengekang hawa nafsu seksual dan nafsu makan, berpuasa juga dapat mengurangkan perbelanjaan makan tengahari ataupun snek ringan ketika bekerja. InsyaAllah walaupun sudah kahwin nanti, aku akan teruskan amalan berpuasa sunat pada hari Isnin, Khamis dan hari-hari tertentu.

Melawan Hawa Nafsu
Aku juga ada membeli sebuah e-book berjudul 'Mas Kahwin Yang Hilang' dan rupanya e-book ini menyeru pembaca supaya mengawal hawa nafsu dari menggunakan wang untuk membeli belah, menonton wayang serta pelbagai lagi. 

Tambah lagi apabila makin banyak gajet baru di pasaran, iPhone, iPad, iPod, Blackberry, telefon pintar Android, PSP, kamera DSLR yang menjadi ikutan pemuda masa kini, aku memang perlu menahan diri daripada membeli gajet idaman hati ini. Aku masih lagi memakai telefon Sony Ericsson sejak tahun 2007 itu. 

Solat Dhuha & Surah Al-Waqiah 
Solat Dhuha sangat popular dengan fadilat memurahkan rezeki kita sementara membaca Surah Al-Waqiah pula dapat mengelakkan kita daripada kemiskinan.

Sedekah
Tips terakhir ini memang sangat menarik. Janganlah kedekut nak sedekah di masjid atau surau. Aku berpegang kepada prinsip lebih banyak kita beri, lebih banyak kita dapat. Dalam kursus yang aku hadiri itu juga ada menerangkan, kalau nak duit masuk, kena ada duit yang keluar.

Rasanya itu saja panduan serba ringkas bagaimana aku berusaha untuk mengumpulkan wang dalam masa setahun lebih ini. Sesungguhnya, rezeki itu datang dari Allah. Alhamdulillah.

Gambar ihsan mr-star-dust dari Deviant Art

Khamis, Februari 04, 2010

Masalah Yusuf dan Zulaikha dalam Doa Pengantin


Salam. Minta maaf kerana tidak sempat update blog pada minggu lepas. Minggu ni aku nak berkongsi sebuah topik yang aku memang akan runsing setiap kali pergi kenduri kahwin.

Bukan isu apa cuma aku akan terkilan kalau sewaktu sesi doa pengantin, adakalanya orang yang membacakan doa (mungkin merujuk kepada teks doa ini) mendoakan agar hubungan pengantin seperti Yusuf dan Zulaikha.

Rata-rata kalau kita pernah baca kisah Nabi Yusuf, patutnya kita tahu dimana Yusuf itu seorang yang sangat kacak. Sewaktu kecil, abang-abangnya mengatakan Yusuf telah mati di makan serigala. Bila sudah dewasa, baginda hampir digoda oleh isteri pemerintah negeri yang kononnya dikatakan sebagai Zulaikha.

Lepas aku menjelajah dunia internet ini untuk mencari kebenaran, rasanya entri daripada Saifulislam cukup untuk membenarkan gerak hati aku ini. Kredit juga kepada Abdullatef yang berkongsi rakaman audio Ustaz Abu Shuaib mengenai Pertunangan dan Pernikahan. Perihal doa pengantin berkaitan Yusuf dan Zulaikha juga ada disentuh. Kalau anda ada kelapangan, boleh la dengar ceramah Ustaz Abu Shuaib lebih kurang 90 minit. Download di sini.

Pengajaran untuk entri kali ini, sebagai umat Islam, kita perlu menyelidik kesahihan sesebuah berita ataupun amalan supaya kita sentiasa dijalan yang benar, InsyaAllah. Tak ada masalah dengan doa itu, cuma untuk memastikan doa itu lebih sesuai, elok digugurkan pada bahagian yang menyebut Yusuf dan Zulaikha itu.

Sebelum kita mengakhiri entri pada minggu ini, layan dulu lagu Muhasabah Cinta dendangan Edcoustic. Menusuk kalbu betul liriknya.



Gambar kredit fotokahwin

Khamis, Januari 08, 2009

10 tanda lelaki sedia untuk komitmen

Artikel ini dipetik dari surat khabar Utusan Malaysia dalam sisipan Mega hari Rabu 7 Jan. Soalnya, adakah kita sudah bersedia untuk memberikan komitmen? Selamat membaca.

MEMASUKI tahun baru mungkin ada yang sudah berazam untuk menamatkan hubungan dengan teman lelaki atau wanita melalui ikatan pernikahan.

Persoalannya, adakah teman anda atau anda sendiri telah bersedia untuk memberi komitmen kepada satu ikatan yang kekal atau masih dilanda fobia untuk melepaskan gelaran bujang.

Bagi wanita, sekarang ini mungkin masanya untuk melihat sama ada teman lelaki anda benar-benar sudah bersedia dan mempunyai matlamat yang sama.

Beberapa Panduan ini mungkin boleh menolong untuk mengetahui sama ada lelaki sudah bersedia untuk memberi komitmen pada satu ikatan perkahwinan.

1. Kawan-kawannya terdiri daripada lelaki yang sudah berkahwin
Jika berasakan teman lelaki anda adalah calon suami yang sesuai, anda perlu periksa sama ada rakan-rakannya adalah kalangan lelaki yang sudah berkahwin.

Kajian menunjukkan bahawa jika rakan-rakannya sudah berumah tangga, dia lebih berkemungkinan besar mempunyai keinginan untuk berkahwin.

Tetapi, jika rakan-rakannya di kalangan lelaki bujang dan masih berada di fasa ingin berseronok dan berparti, ia mungkin isyarat yang kurang baik.

2. Kewangannya stabil
Kajian menunjukkan bahawa lelaki yang mempunyai rumah sendiri lebih bersedia untuk berkahwin. Lelaki yang berasakan kewangannya stabil akan melihat perkahwinan adalah peringkat seterusnya dalam fasa hidup mereka.

3. Dia mula mendesak anda
Lelaki yang bersedia untuk membuat komitmen akan membuka langkah terlebih dahulu. Jika emel anda kepadanya mengambil masa beberapa hari untuk dibalas atau jika anda terpaksa bertanya untuk tahu di mana dia berada atau jika anda saja terpaksa menghubunginya, anda mungkin mengejar lelaki yang mungkin tidak berminat terhadap perkahwinan.

4. Dia bersedia untuk menunggu
Jika lelaki tersebut mengambil inisiatif untuk mengenali anda dengan lebih dekat, dia kemungkinan besar bersedia membuat komitmen.

5. Mengambil berat ketika anda sakit
Jika dia mengambil berat keadaan anda ketika anda sakit, ini menunjukkan lelaki ini bukan berada di sisi hanya untuk berseronok. Jika dia mahu bersama anda ketika susah, itu tanda dia bersedia dengan hubungan jangka panjang seperti perkahwinan.

6. Dia berusaha mengenali rakan dan keluarga anda
Lelaki yang memikirkan hubungan jangka panjang mahu mengenali anda dengan lebih mendalam. Melihat anda berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan anda, membantu dia mengenali anda dengan lebih mendalam.

Pada masa sama dia juga mahu anda mengenalinya dengan lebih dekat. Dia mahu melihat sama ada anda sesuai dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Lelaki yang cuba menjauhkan anda dengan individu-individu yang penting dalam hidupnya, melihat hubungan sebagai suka-suka saja.

7. Dia menggunakan perkataan 'kita' bukannya 'saya'
Apabila dia bertukar daripada menggunakan 'saya' kepada 'kita', itu tanda dia semakin komited dengan anda.

Jika teman lelaki hanya menyebut 'saya' berbanding 'kita' dalam perbualan biarpun selepas sekian lama berkenalan, sebenarnya dia masih senang dengan dirinya sebagai lelaki bujang.

8. Dia tidak takut berkompromi
Lelaki yang bersedia terhadap komitmen tidak ragu-ragu untuk meminta pendapat atau berbincang mengenai sesuatu keputusan yang beliau buat dan dia bersedia berkompromi dengan anda.

Lelaki ego yang mahu segala-galanya mengikut caranya tidak bersedia untuk berkompromi, sedangkan ia merupakan sebahagian sifat semula jadi sebuah hubungan yang matang.

9. Dia tidak perlu berdalih
Lelaki yang fobia dengan komitmen sentiasa mencari pelbagai alasan sama ada untuk tidak mahu keluar dengan anda, alasan kenapa tidak menelefon dan alasan mengapa tidak bersedia untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya.

Sebaliknya, lelaki yang bersedia dengan komitmen tidak perlu berdalih, dia hanya perlukan anda.

10. Dia suka pada hubungan jangka panjang
Jika dia sentiasa mengadu mengenai memerlukan ruang untuk bersendirian, melayan anda seolah-oleh anda satu bebanan bukannya anugerah dan sentiasa bercakap agar tidak perlu terburu-buru untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya, secara tidak langsung dia memberitahu bahawa dia tidak bersedia untuk komitmen.

11. Dia suka tulis mengenai perkahwinan dalam blog
Mungkin kalau dia selalu membicarakan soal perkahwinan dalam perbualan anda mahupun di dalam blog peribadinya, dia sudah bersedia untuk memberi komitmen berumah tangga. Sebenarnya isi yang kesebelas ini saja aku tambah. Dalam akhbar tu cuma ada sepuluh saja.

Renungkanlah sejenak akan masa depan perhubungan kalian ya. Sampai bila nak melakukan dosa kan?