Aku ingin berkongsi pengalaman Ramadhan di negara orang yang memang sangat berbeza berbanding Ramadhan di Malaysia apatah lagi di negara yang Islam bukan agama majoriti.
Waktu Sahur dan Berbuka Puasa
Di Australia yang beriklim 4 musim, dan Ramadhan jatuh pada penghujung musim sejuk., Waktu malamnya lebih panjang daripada waktu siang. Subuh pada hari ini ialah 4.53am sementara waktu maghrib ialah pukul 5.33am. Aku berpuasa lebih kurang 12.5 jam setiap hari. Kalau di Malaysia puasa lebih sejam je. Tak banyak beza pun.
Iftar di masjid dan universiti
Sempat juga beberapa kali aku pergi iftar di masjid. Dapatlah juga merasa makan daging lembu dan kambing. Selalu masak ayam saja di rumah. Di masjid makan dalam dulang bersama jemaah yang lain.
Ketika sedang iftar di universiti |
Solat Tarawih
Ramadhan kali ini juga yang pertama aku lalui sebagai seorang suami. Selain bertarawih di masjid, aku juga mengimami solat tarawih isteriku di rumah. Alhamdulillah serba sedikit dapat memperbaiki tahap hafalan surah dari Juz Amma.
Waktu bekerja macam biasa
Teringat lagi kalau di Malaysia, boleh mula kerja awal setengah jam dan boleh balik awal. Masa praktikal, siap boleh balik awal sejam sebab ganti sejam waktu rehat tengahari. Di sini kerja macam biasa. Tak dapat balik awal. Ada dua tiga kali juga aku berbuka dalam kereta sebab waktu maghrib 5.20pm.
Khatam Quran
Alhamdulillah aku berjaya untuk menghabiskan 30 juzuk Quran dalam tempoh 29 hari. Aku baca 10-12 muka sebelah pagi dan 10-12 muka sebelah malam. Kalau baca waktu pagi nanti kering tekak. Tu yang baca lagi separuh waktu malam. Boleh minum kalau dahaga.
Qiyamullail
Ramadhan kali ini juga aku lebih bersemangat untuk solat tahajud sebelum sahur. Bila dah ada isteri yang sentiasa memberi dorongan, bertambahlah motivasi untuk bangun awal dan solat malam. Selalunya aku bangun antara pukul 4.00-4.30am. Kalau bangun awal lagi boleh solat lebih sikit.
Mencari Lailatul Qadar
Aku tak pasti bila rasanya malam Qadar ni. Tapi pada pagi 27 Ramadhan hari tu rasa cuaca dingin dan nyaman. Mungkin betul mungkin tak. Tapi bersama-sama la kita berharap agar kita mendapat pahala lebih banyak dari amalan 1000 bulan.
Program Jelajah Australia Aqsa Syarif
Aku juga turut terlibat dengan program Aqsa Syarif di Australia. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan Dr. Hafidzi turut selesai program di 5 bandar utama serta mendapat sumbangan mencecah RM100k dari komuniti Muslim di sini. Kalau di Malaysia, aku pasti lagi sibuk dengan program dan sebagainya!
Kalau di Malaysia, setiap kali bulan puasa mesti nak beli juadah berbuka puasa. Tapi memang tiada bazaar seumpamanya di sini. Demi nak melepaskan rindu makan kuih-muih ketika berbuka ataupun moreh, kami pun terpaksalah buat sendiri. Beli tepung, daun pandan, sagu, jagung, kelapa dan menggunakan kreativiti sendiri untuk buat kuih yang sedap.
Kuih bakar yang dimasak oleh isteri |
Teringat lagi kalau pergi berbuka bufet Ramadhan di hotel. Makanan memang banyak dan biasanya tak sempatlah nak bertarawih di masjid. Tapi takde pun buffet kat sini. Kalau nak juga kena sertai iftar mingguan di masjid. Masjid mengadakan iftar keluarga dan potluck. Dapatlah merasa pelbagai juadah yang dibuat oleh qariah masjid.
Penentuan bulan Ramadhan dan Syawal
Di Australia, masyarakat Muslim menggunakan kaedah melihat anak bulan untuk menentukan tarikh permulaan Ramadhan dan juga Syawal. Tarikh mula Ramadhan sama dengan Malaysia tapi ada khilaf pula berkenaan tarikh mula Syawal. Aku harap dapat la menyambut hari raya pada 30 Ogos esok.
Sekian coretan di penghujung Ramadhan 1432H. Banyak hikmah yang dapat kupelajar di sini. Nantikan pengalaman berhari raya dalam entri akan datang.
Adlan Khalidi
Newcastle, NSW Australia
29 Ogos 2011, 29 Ramadhan 1432H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan