Halaman

Memaparkan catatan dengan label maher zain. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label maher zain. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 23, 2010

Di sebalik penganjuran Konsert Maher Zain di Auditorium MBSA Shah Alam

Salam kepada semua pembaca. Minggu lepas Maher Zain telah mengadakan showcase Save The Soul di Auditorium MBSA Shah Alam pada 14 dan 15 Oktober 2010. Hari ini, aku ingin berkongsi mengenai Maher Zain serta sedikit info berkenaan penganjuran konsert MZ di Malaysia.

Kos Penganjuran
Antara info yang aku dapat tahu dari sebuah syarikat yang berusaha untuk membawa MZ ke Malaysia, kos untuk menganjurkan sebuah konsert termasuk sistem bunyi, pencahayaan, pentas bertaraf antarabangsa, bertempat di stadium, menelan sehingga ratusan ribu ringgit.

Itu info yang aku dapat semasa bulan Ramadhan, bulan Ogos yang lepas. Aku tak pasti bagaimana dengan perbelanjaan showcase pada minggu lepas. Alhamdulillah RS telah mendapat banyak penaja termasuk syarikat automotif negara, Proton.

Bilangan kerusi di auditorium
Untuk makluman anda, auditorium tersebut mempunyai 1450 kerusi termasuk tingkat atas. Secara mudahnya, aku boleh congak; 1450 kerusi x 2 malam x minima RM70 tiket = RM203,000 jumlah minimum yang berjaya dikutip. Tapi itu aku kira kalau tiket RM70 saja. Tiket RM70 cuma untuk kerusi di tingkat atas sahaja. Tiket RM100 hingga RM200 semuanya di tingkat bawah.

Status tiket , sold out atau fully booked?
Sekiranya anda melayari laman web RS sendiri, anda dapat lihat daripada jadual jelajah MZ menyatakan tiket telah 'Sold Out'. Sekiranya anda skrol ke bawah, anda dapat lihat yang status tiket yang dikemaskini pada 24 September ialah 'Fully Booked'.

Tetapi kawan aku cakap, pada 11 Oktober, 3 hari sebelum showcase tersebut, tiket masih boleh dibeli kerana ada orang yang book tapi gagal dihubungi. Mereka yang book ini juga belum menjelaskan bayaran dan mengambil tiket di pejabat RS.


Aku faham situasi RS selaku NGO yang kekurangan tenaga kerja. Tak boleh nak salahkan RS sebab tak kemaskini website tersebut. Aku juga terkilan kerana poster yang menyatakan tiket 'Sold Out' itu telah tersebar luas di Facebook. Bayangkan betapa kecewa peminat MZ bila tengok poster tersebut.

Walau apapun, aku ucapkan tahniah kepada RS, terutamanya kepada Kak Rosmawati kerana telah berjaya menganjurkan Showcase Save The Soul seterusnya memperkenalkan RS ke seluruh dunia.

Kisah aku pula
Terima kasih juga kepada kawanku tolong belikan tiket untuk aku dan kawan-kawanku pada hari Selasa, 12 Oktober, 2 hari sebelum showcase tersebut.



Aku pergi ke showcase dengan kawanku Abu Dzar dan bertolak dari Hartamas pada pukul 7pm. Aku melalui lebuhraya Sprint dan NKVE dan tiba di Wisma MBSA pada pukul 7.45pm. Selesai solat maghrib dan isya, kami pun mengambil tempat di tingkat atas.



Aku tak bawa kamera pada hari itu. Sebab aku tahu kalau nak ambil gambar MZ dari tingkat atas, menggunakan kamera digital kompak biasa, takkan dapat gambar yang cantik. Gambar di atas di ambil oleh Kak Izzati yang datang bersama tunangku, Nurulhuda.



Sebelum pulang pada pukul 11pm, aku singgah di gerai jualan Inteam Mobile untuk membeli CD Maher Zain Thank You Allah pada harga RM25. (Ini kali pertama aku beli CD lagu original sejak lebih dari 8 tahun yang lepas).

Sekian, semoga Maher Zain akan terus berjaya dan semoga peminat beliau akan sentiasa menyokong beliau dan menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Entri terdahulu : Maher Zain dan lagu nasyid kontemporari yang padat dengan mesej.

Isnin, Julai 26, 2010

Maher Zain dan lagu nasyid kontemporari yang padat dengan mesej


Salam. Kebelakangan ini, makin banyak kedengaran lagu-lagu Maher Zain di radio IKIM serta kenduri kahwin. Aku sendiri pun layan lagu-lagunya di rumah mahupun di pejabat. Macam mana aku pun boleh mula minat dengan lagu-lagu beliau?

Pertama Kali
Bulan Jun yang lepas, aku pergi ke kenduri Sofiyussalam. Ketika itu aku terdengar lagu yang indah dengan lirik "Alhamdulillah.. all praises to Allah x2". Itu merupakan kali pertama aku dengar lagu tersebut. Keesokan harinya, ketika aku pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman, DJ di pesta buku DBP turut memutarkan lagu yang sama. Selepas itu, aku pun mula mencari siapakah gerangan penyanyi lagu tersebut.

Keunikan dan keistimewaan lagu-lagunya
Selepas aku dapat tahu nama artis tersebut - Maher Zain, aku pun cuba mendengar lagu-lagu yang terdapat dalam album beliau. Memang tak dapat dinafikan, lagu bermesejkan Islami penyanyi solo yang digubah dan terdapat juga elemen hip hop dan R&B sangat sedap didengari. Terdapat beberapa lagu yang dihasilkan dengan piano juga seperti Thank You Allah.

Disini aku senaraikan lagu-lagu yang terdapat dalam album terbaru beliau serta reviu ringkas.
  1. Always Be There - lagu ini menyeru supaya kita sentiasa kembali kepada Allah ketika dalam kesusahan
  2. Ya Nabi Salam Alayka - lagu selawat ke atas Nabi dalam 4 bahasa; Turki, Inggeris, Arab, Urdu
  3. Inshallah - lagu ini juga menyeru supaya kita kembali kepadaNya kerana Allah pasti akan membantu kita ketika dalam kesusahan
  4. Palestine Will Be Free - lagu ini mengharapkan satu hari Palestin akan dibebaskan dari cengkaman Israel
  5. Thank you Allah - lagu ini menyeru kita supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas nikmat kurniaan Allah 
  6. Allah Allah Kiya Karo (ft Irfan Makki) - lagu berbahasa Urdu bermaksud "Wahai Allah, berilah keredhaan kepada hambaMu yang lemah dan yang memerlukan" (via)
  7. The Chosen One - lagu ini menyeru kita supaya mengikut dan mencontohi Nabi Muhammad s.a.w.
  8. Baraka Allah Lakuma - lagu ini sesuai ditujukan buat pengantin baru kerana ia bermaksud "Semoga Allah memberkati kamu berdua".
  9. For the Rest of My Life - lagu jiwang buat pasangan suami isteri yang ingin hidup bersama sehingga ke syurga
  10. Hold My Hand - lagu ini sesuai ditujukan buat sahabat & jiran kita dalam menjalani kehidupan di dunia bersama-sama
  11. Awaken - lagu dengan mesej paling pedas buat orang yang mementingkan dunia seperti harta (materialistik) dan pangkat berbanding akhirat
  12. Subhana Allah(ft. Mesut Kurtis) - lagu ini mengajak kita melihat ciptaan Allah dan bertasbih
  13. Open Your Eyes - lagu ini menyeru kita supaya melihat ciptaan Allah serta merenung keagungan Allah melalui alam ini
Sebelum kita mengakhiri entri pada minggu ini, sila hayati lagu Insha Allah dendangan Maher Zain dan jadilah antara ribuan peminat beliau di Facebook Maher Zain. Wassalam.



Lirik lagu Maher Zain - IslamicLyrics.net