Halaman

Isnin, September 07, 2009

Mencari orang kacak teman sejati


Salam kepada pembaca yang budiman.

Sedar tak sedar sudah masuk hari ke- 17 kita di dalam bulan Ramadhan. Signifikannya 17 Ramadhan ini ialah tarikh telah diturunkan kitab suci oleh Allah sebagai panduan dan penyuluh hidup manusia sejagat. Dalam entri kali ini marilah kita merenung sejenak.. Siapakah yang akan menemani kita apabila kita ditinggalkan keseorangan oleh keluarga, saudara mara dan sahabat paling rapat sesudah kita mati nanti? Hm..

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata :

"Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekali pun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!"

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata :

"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi". Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga.

Rakan-rakan pembaca, di kala kita keseorangan dan berada dalam ketakutan dan ketidakpastian yang kita sendiri tak dapat bayangkan dalam kubur nanti, alangkah bahagianya jika adanya Qur’an sebagai syafaat .

Kita tak tahu bila kita akan pergi meninggalkan dunia ini dan melangkah ke alam barzakh bertemu dengan Munkar dan Nakir. Oleh itu, bersempena dengan Ramadhan, bulan penuh ganjaran dan bonus daripada Allah ini, marilah kita memperbanyakkan bacaan Qur’an kita..Marilah sama-sama menyiapkan diri moga ada orang kacak yang akan menemani kita dalam kubur nanti insyaAllah.



1 ulasan: