Halaman

Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan

Selasa, September 01, 2009

Projek Monorel Mekah 2010

Salam Ramadhan Kareem buat semua pembaca. Aku nak minta maaf sebab jarang kemaskini blog ini. Semoga kalian semua dapat memanfaatkan peluang untuk pertingkatkan ibadah pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Di kesempatan ini, aku nak tulis pasal projek monorel Mekah yang bakal dimanfaatkan oleh jemaah Haji mulai tahun 2010 atau haji tahun 1431H. Projek pembinaan telah dimulakan selepas musim haji 1429H yang lalu.

Aku masih lagi ingat sewaktu membuat kajian untuk projek tesis awal tahun ini. Antara cadangan yang terbaik untuk memudahkan jemaah haji yang berkerusi roda ialah menggunakan pengangkutan train atau monorel. Jemaah pasti tidak menghadapi masalah untuk masuk ke dalam tren dengan berkerusi roda. Kalau menggunakan bas, memang susah nak lipat dan angkat ke dalam bas.

Aku harap segala kemudahan di Mekah, Mina, Arafah dan Madinah direka berkonsepkan mesra pengguna, khususnya untuk golongan kurang upaya dan warga emas.

Berikut merupakan pautan untuk bacaan yang lebih lanjut mengenai projek monorel di Mekah.
Harap maaf jikalau ada link yang sudah tidak aktif. Aku kagum dengan syarikat Scomi Engineering sebab mereka juga terlibat dengan projek monorel di Mekah. Apa agaknya perkembangan projek monorel di Pulau Pinang?

Gambar ehsan dari Arabian Business

Jumaat, Mac 06, 2009

Projek Ijazah, Tesis dan Projek Mekah


Salam buat pembaca yang dihormati. Agak lama tak update blog WK ni. Agak sibuk dengan kehidupan di universiti, maklumlah sudah tahun akhir, semester akhir dan bulan-bulan terakhir.

Topik kali ni saja nak berkongsi mengenai perjalanan semester akhirku yang agak mencabar. Agak sibuk jugak sampai aku tak sempat nak terlibat dalam aktiviti kelab dan lain-lain. Kalau nak berjaya, kena berusaha lebih kan. Kalau tak, boleh je bersenang-senang dulu dan bersusah kemudian. Tapi aku tak suka macam tu.

Projek Ijazah dan Tesis
Mungkin ini terjemahan paling tepat untuk istilah Degree Project. (Sesetengah IPT Final Year Project FYP) Demi mencabar diriku sendiri, aku memilih topik yang agak mencabar dari segi sempadan antarabangsa. Aku ingin merekabentuk sebuah kerusi roda (wheelchair) untuk kegunaan jemaah Haji di Mekah.

Sejurus dengan itu, aku juga telah menulis tesis berkaitan kajian perjalanan Haji di Mekah. Kebanyakan maklumat aku temuramah secara langsung dengan ibubapaku yang baru menunaikan haji pada tahun 2008.

Cuba kalian bayangkan, walaupun pernah belajar di sekolah menengah pasal Haji dan Umrah, tapi demi projek kali ini, aku gagahi jugak untuk mendalami ilmu haji. Kebanyakan orang cakap apa yang dipelajari di buku tak sama apabila pergi sendiri ke Mekah. Itu memang aku akui. Tapi bersyukur dengan kemudahan internet dan blog karangan jemaah haji, aku mula memahami situasi di sana berpandukan teks, gambar, video dan pendapat peribadi.

Tapi bila aku sudah banyak mengkaji pasal Haji dan Mekah ni, semangatku seakan membara untuk pergi menunaikan haji (tak pun umrah) untuk merealisasikan projek. Tapi apakan daya.

Bangunan Tabung Haji
Aku telah pergi ke Lembaga Urusan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, cuma jalan kaki dari stesen LRT Ampang Park. Ketika itu aku ingin menemuramah pegawai TH untuk mendapatkan maklumat berkaitan peranan TH. Selepas itu, aku pergi ke tingkat bawah dan kubuka akaun TH berbekalkan RM10.

Mulanya aku ingin daftarkan namaku untuk naik Haji. Tapi pegawai itu memberitahu sekurang-kurangnya aku perlu ada RM1300 dalam akaun. Kalau ingin ikut giliran, mungkin terpaksa tunggu sepuluh tahun ataupun lebih. Lain la kalau pergi dengan pakej agensi.

Projek Pembesaran Kota Mekah

Mungkin aku agak terlewat untuk mengetahui perkara ini berbanding rakan-rakanku di jabatan lanskap sejak tahun lepas. Tapi seakan kebetulan pula, projek pembesaran kota Mekah telah dijalankan. Malah pensyarah KAED sendiri merupakan salah seorang panel penasihat Raja Abdullah iaitu Prof. Dr. Ismawi Zen. Lebih lanjut mengenai beliau di sini.

Aku bersyukur sebab banyak juga maklumat yang aku perolehi demi projek dan tesisku. Sekian, doakan aku berjaya menyiapkan segala projek dan tesisku. Mungkin seusai segala kerja, baru aku dapat update blog ini kembali.

Selasa, Disember 02, 2008

Nasihat Luqman kepada anaknya

Salam kepada semua.

Juga salam teramat rindu kepada kedua ibubapaku yang sudah 19 hari meninggalkan kami untuk ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Moga Allah mempermudahkan segala urusan kalian.

Kali ni tak ada apa sangat nak dikongsikan. Cuma bila ibubapa kita tiada bersama di rumah rasa sunyi je (walaupun ketika sepanjang sem memang saya jarang pulang ke rumah kerana agak sibuk). Sunyi tanpa arahan, gurau senda, nasihat dan cadangan rasional mereka. Sunyi macam ada satu kehilangan. Macam tiada ‘feel’ duduk kat rumah tanpa suara mereka. Alhamdulillah mereka hanya pergi untuk seketika dan doaku moga mereka selamat pulang.

Bila terbaca Surah Luqman, dapatlah kita hayati nasihat Luqman kepada anaknya.

PETIKAN DARI AL-QURAN(SURAH LUQMAN AYAT 12-19)

12. Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji".
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.
15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
16. (Luqman berkata), “Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Mahateliti
17. Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.
18. Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.
19. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Baiklah,hm..dalam ayat 14 ada menyebut tentang suruhan Allah kepada kita agar berbuat baik kepada kedua ibubapa kita. Sebenarnya kalau kita fikir balik, apa la sangat segala pengorbanan yang kita buat untuk ibubapa kita kalau nak bandingkan segala pengorbanan mereka terhadap kita sejak kita lahir sampailah kita dah besar sekarang. Dan kalau kita terasa berat (atau kadang-kadang malas) untuk melakukan apa yang mereka minta, kita kena ingat bahawa mereka tak pernah pun nak mengeluh bila anak-anak mereka minta apa-apa walaupun kadangkala susah untuk mereka tunaikan.

Hm..bila masa-masa begini, masa ibubapa tiada untuk sementara inilah, kita akan muhasabah betapa besarnya jasa ibubapa yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang tanpa meminta balasan apa-apa pun. Tapi saya pasti anda semua mesti lagi kerap muhasabah diri? Tak kan nak tunggu mak ayah kita pergi buat beberapa ketika baru nak muhasabah..sob3.

Pada hari ini, 2 Disember, sempena ulang tahun kelahiran abahku yang ke-42, kukirimkan salam sayang dan kupinta daripadaMu, “Wahai Rabbku, ampunilah aku dan kedua orang tuaku. Wahai Rabbku, rahmatilah keduanya sebagaimana mereka mendidikku di waktu kecil."
Aku amat merindui abah dan ummiku. Moga kalian beroleh haji mabrur. Pulanglah dengan selamat ye.